Saturday, March 21, 2015

DUIT ialah DOA USAHA ISTIQOMAH TAWAKKAL


FATHI

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

            Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan keputusan SPM yang saya dapat. Ramai juga yang berkata kepada saya, "Kau budak pandai boleh la skor. Aku ni usaha-usaha pun masih susah nak skor dengan baik". Wahai rakan, pada pendapat saya, tiada istilah pandai atau kurang pandai dalam dunia ni. Itu semua hanya istilah yang kita guna untuk label seseorang berdasarkan kesan perlakuan mereka. Contohnya, kalau mereka berjaya skor dalam peperiksaan, kita label golongan ini sebagai budak-budak pandai dan sebaliknya. Istilah yang sepatutnya digunakan adalah berdasarkan tindakan atau usaha mereka sepanjang tempoh tersebut. Istilah yang saya maksudkan adalah 'RAJIN' dan 'MALAS'. Kalau kita lihat pelajar yang berjaya, MAJORITInya RAJIN menyiapkan kerja sekolah yang diberikan, RAJIN melakukan ulang kaji matapelajaran serta RAJIN ke sekolah. Memang tidak dinafikan ada golongan MINORITI yang dilahirkan genius, tak buat 'homework', tak ulang kaji dan ponteng kelas tapi masih boleh skor dengan baik dalam peperiksaan. Walaubagaimanapun, kita janganlah menjadikan golongan minoriti ini sebagai contoh kerana bukan semua di antara kita yang dilahirkan dengan kebolehan sebegitu. Kesimpulannya, kalau mahukan kejayaan, RAJIN kan diri menuntut ilmu. :D

Kawan-kawan sekalian,

            Saya nak berkongsi cara saya belajar ketika di rumah. Terus terang, saya bukan manusia ulat buku yang mampu mentelaah satu subjek berjam-jam lamanya, 15 minit sudah cukup maksimum bagi saya untuk satu matapelajaran. Cara untuk atasi perkara sebegini adalah dengan menggunakan cara 'Golden 10 Minutes' pergh nama. Saya menggunakan 10 minit minimum untuk mengulangkaji satu subjek dengan syarat saya bebas daripada gangguan persekitaran dan menumpukan perhatian 100% terhadap subjek tersebut. Bila kita mendalami subjek tersebut, kita akan mula berasa seronok untuk meneruskan ulangkaji. Biasanya saya akan belajar pada waktu petang selepas aktiviti riadah. Hal ini kerana selepas riadah, jantung mengepam darah dengan lebih laju ke seluruh anggota badan terutamanya otak kita. Jadi, saya gunakan masa ini, lebih kurang 10 minit selepas riadah untuk mengulangkaji pelajaran. Kesimpulannya di sini ialah TUMPUAN adalah paling penting dalam mengulang kaji matapelajaran,

            Saya juga mahu tekankan kepada rakan-rakan bahawa kita perlu KONSISTEN dalam mengulangkaji pelajaran. Mula ulangkaji daripada tingkatan 4. Jangan anggap tingkatan 4 sebagai tahun 'honeymoon' selepas PMR atau PT3. Ulangkaji lah apa yang dipelajari setiap hari paling kurang 10 minit. Jika dilakukan secara konsisten, insyaa Allah kita mampu memahami dan mengingati apa yang diajar oleh guru-guru kita. Selain itu, kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru wajib disiapkan. Hal ini kerana kerja sekolah mampu menjadi bahan bantuan untuk kita mengingati dan memahami apa yang dipelajari pada hari tersebut. Gunakan masa yang terluang di dalam kelas untuk menyiapkan kerja sekolah. Hal ini akan memberi kita lebih banyak masa di rumah untuk merehatkan minda. Oleh itu, kita perlu tahu bahawa ULANGKAJI dan KERJA SEKOLAH merupakan dua perkara berbeza tetapi WAJIB DILAKUKAN setiap hari.

Rakan-rakan,

             Saya mahu ingatkan perkara paling penting dalam usaha kita untuk memperoleh kejayaan. Pertama sekali ialah IKHLASKAN DIRI untuk menuntut ilmu. Bagi yang Muslim, pasanglah niat menuntut ilmu kerana Allah. Insyaa Allah ilmu yang ditimba setiap hari diberkati-NYA. Kedua, SAYANGI GURU kita. Caranya mudah, hormati mereka dan sentiasa siapkan kerja sekolah yang diberi. :D. Bila kita sayang guru, barulah ilmu yang kita peroleh diberkati. Ketiga, bagi seorang Muslim, iaitu MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH SWT. Jangan tinggal solat, perbanyakan bacaan Al Quran serta elakkan diri daripada membuat perbuatan mungkar. Ungkapan DUIT = DOA + USAHA + ISTIQOMAH + TAWAKKAL merupakan ungkapan terbaik untuk kita. Tanpa salah satu, sungguh sukar untuk kejayaan menjadi milik kita.

Saya berharap perkongsian ini dapat menjadi  pembakar semangat kepada kita semua untuk meneruskan kejayaan. Saya ucapkan semoga berjaya kepada semua.

'I am not saying it's gonna be easy, I am telling you it's gonna be worth it'.

FATHI

FATHI YUSUF MOHAMAD
Straight A's SPM 2014
SMK Ghafar Baba, Masjid Tanah.




KEJAYAAN ADALAH PILIHAN BUKANNYA NASIB~RAFAEL MD HASSAN

MD RAFAEL BIN MD HASSAN


RAFAEL


Assalamualaikum w.b.t. Nama saya Md Rafael Bin Md Hassan. Saya bersekolah di SMK Ghafar Baba. Alhamdulillah saya telah berjaya memperoleh semua A(9A) dalam semua mata pelajaran semasa keputusan SPM diumumkan baru-baru ini. Jadi, di sisni saya ingin mencoretkan sedikit perkongsian tentang tips belajar yang mungkin berguna kepada anda semua. Pada pendapat saya, untuk belajar dengan lebih efisien, strategi amatlah penting.

Antaranya ialah ketika di dalam kelas saya akan memastikan saya memberikan tumpuan 100% kerana apabila cikgu mengajar, banyak sebenarnya input yang kita akan peroleh. Tumpuan yang 100% sebenarnya lebih baik daripada membaca secara membuta tuli kerana membaca dengan cara begitu hanya akan menambahkan lagi tekanan lebih-lebih lagi kalau kita tidak memahami apa yang kita baca. Seterusnya saya juga akan bertanya kepada guru sekiranya saya tidak memahami sesuatu topik. Saya akan bertanya sehingga saya faham dan tidak akan sesekali berasa malu dan bertangguh untuk bertanya kerana penagguhan hanya akan menambahkan lagi masalah. Saya juga akan sentiasa menolong kawan-kawan yang memerlukan pertolongan terutamanya dalam pelajaran kerana bila kita berbuat baik, kita akan lebih daripada apa yang kita buat terhadap orang lain. Seterusnya, saya sentiasa menghormati guru dengan tidak membantah segala arahan yang diberikan dan saya menerima segala tugasan yang diberikan dengan hati terbuka walaupun kita sedar kadang-kadang kerja yang diberikan agak banyak tetapi jarang kita sedar akan kehadiran hikmah di sebalik cabaran itu semua.

Di rumah pula, saya akan menyiapkan segala kerja atau tugasan yang diberikan oleh guru dengan lengkap. Walau sesibuk mana pun saya, saya akan memastikan tugasan-tugasan yang diberikan disiapkan tanpa sebarang alasan. Saya juga akan mengulangkaji subjek-subjek yang telah belajar di sekolah dengan mengambil kelas tambahan agar saya tidak lupa. Dan apabila minggu peperiksaan telah hampir tiba, saya akan pastikan saya membuat ulangkaji sebaik yang saya mampu atau yang terbaik sepanjang hidup saya kerana saya percaya bahawa SPM ini hanya datang sekali saja. Jadi hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Berkorbanlah selagi kita mampu.

Seterusnya, yang paling penting ialah saya akan merancang masa saya dengan sebaik-baiknya kerana kita di sekolah bukan hanya untuk belajar dalam akademik sahaja bahkan banyak kemahiran yang perlu kita asah agar kita menjadi pelajar yang serba boleh. Jadi, kalau ada diantara kita yang mengeluh kerana tidak mempunyai masa untuk belajar dan bergiat aktif dalam kokurikulum, ternyata anda gagal dalam pengurusan masa. Untuk mengurus masa anda, pastikan anda tahu yang mana perlu diberikan lebih keutamaan dan pastikan anda ada jadual anda sendiri.

Akhir sekali, sebagai seorang ketua pelajar sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa tugasnya amat berat. Namun, saya tidak mahu manjadikannya sebagai alasan untuk saya tidak berjaya. Sememangnya sesekali ada terasa ingin berputus asa kerana terpakasa manggalas beban yang sangat berat tetapi saya sedar bahawa kita perlu yakin dengan kebolehan diri sendiri. Kalau orang lain percaya dengan kebolehan kita, mengapa tidak kita? Jadi, yakinlah pada diri sendiri.
RAFAEL


Tuntasnya, untuk mandapat keputusan yang cemerlang dalam apa jua peperiksaan, bukanlah suatu perkara yang sukar tetapi tidak mustahil ianya akan manjadi sukar kalau tidak kena pada caranya. Pada pandangan saya, kalau kita benar-benar inginkan kejayaan, kita sendiri akan buktikan. Maksudnya, kesungguhan memainkan peranan yang sangat penting dalam setiap perkara. Walau bagaimnapun, cara belajar ini terpulang kepada diri sendiri kerana lain orang lain caranya. Jadi carilah jalan yang paling sesuai dengan cara hidup kita agar kita tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah bahawa kejayaan sememangnya suatu pilihan dan bukannya nasib.


~Rafael~

2 BULAN TERLANTAR SAKIT NAMUN SPM TETAP 9A

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


            Nama dianugerahkan kepada saya Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil. Saya bekas pelajar yang pernah menuntut di SMK Ghafar Baba pada tahun 2013-2014. Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Kaya kerana ketika saya belajar di sini saya telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2014. 9A dalam genggaman saya telah menimbulkan pelbagai kata tanya dan spekulasi yang meniti di bibir-bibir mulut masyarakat sekeliling saya. Bagaimanakah dia boleh mendapat keputusan yang memberangsangkan sedangkan dia kerap tak masuk kelas dek aktif dengan aktiviti kokirukulum? Desas-desus mengatakan dia masuk hospital selama dua bulan, kalau begitu bagaimana dia boleh cemerlang juga? Keadaaan dia ketika dia sakit dan sihat sama je… Dia makan apa eh ? Dia ni manusia ke ? Pening ar !!! Bertitik tolak dari itu, otak dan hati saya telah bersepakat dan membuat kata putus, untuk merungkaikan segala tribulasi yang menghantui kotak fikiran warga sejagat khususnya adik-adik yang masih belajar dan mengimpikan rangkaian A dalam slip keputusan peperiksaan di SMK Ghafar Baba agar dapat menempuh segala mehnah yang bakal muncul ketika roda masa adik-adik masih berputar dalam alam pelajar sekolah menengah. 
AMMAR AL HAKIM

 9A SPM 2014


Hal ini kerana, Dalam hadis Nabi SAW pernah menyatakan ,“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3289)


Innamal A’malu Binniyat. Sesungguhnya, amalan kita bergantung pada niat. Oleh itu, untuk berjaya tidak kisahlah dalam peperiksaan atau hidup di dunia waima akhirat, kita mestilah mempunyai matlamat yang padu tertanam dalam hati kita bak pokok yang telah berakar,  kuat mencengkam tanah. Dengan matlamat, kita akan bersemangat untuk menuju ke destinasi yang kita impikan. Di bilik saya, emak saya banyak meletakkan gambar-gambar yang ditemani dengan mutiara kata motivasi agar saya tidak mengaku kalah menghadapi kesulitan hidup. Tetapi hanya niat sahaja dan tidak mengorak langkah untuk berusaha secara fizikal tidak akan membuahkan hasil malah akan mengakibatkan diri sendiri terseksa. Kekuatan fizikal dan mental ini boleh diibaratkan seperti sayap, kita berlukan kedua-duanya untuk terbang.

Seterusnya, saya akan fokuskan cara saya belajar. Sebelum saya menjatuhkan langkah pertama saya dalam kawasan sekolah, saya akan berniat bahawa saya datang sekolah semata-mata untuk menuntut ilmu, bukan untuk mencari hiburan, bukan untuk mecari pasangan ataupun lawan. Hal ini kerana, ilmu itu suci. Sekiranya, hati dan minda kita disajikan dengan perkara-perkara keji sehingga menjadikan hati kita kotor. Cuba bayangkan, adakah benda yang suci akan melekat di tempat yang kotor ? Tidak. Apatah lagi mendekatinya ? Realitinya, remaja pada zaman ini banyak yang mempunyai masalah hati, sebab itu mereka berat untuk mengulang kaji dan menyiapkan segala tugasan yang cikgu beri. Oleh itu, saya harap anda usahlah kecil hati dan ubahlah diri anda sendiri.



Ketika saya berada di kelas pula, saya akan memaksimumkan tumpuan saya 100% ketika guru sedang mengajar. Sekiranya, saya ada sebarang kebingungan saya akan memohon pencerahan dari guru pada saat itu juga tanpa perasaan malu. Kerana saya sedar, sekiranya saya menangguhkan kemusykilan yang bermain di minda saya, saya mungkin akan lupa dan perkara yang rumit itu tidak dapat diselesaikan. Jangan bersikap ego dengan menyatakan bahawa kita akan mencari jawapan itu sendiri dengan rujukan buku kerana kadang-kadang cikgu ada sesuatu yang buku tidak ada dan lebih menjimatkan masa. Jangan malu tidak bertempat. Lebih baik malu disebabkan soalan kita yang mudah yang mengakibatkan kita dianggap bodoh daripada kita menjadi bodoh selama-lamanya. Sesungguhnya, malu bertanya sesat jalan.

Sehubungan itu, saya akan membantu rakan-rakan saya yang mempunyai masalah dalam pelajaran. Apabila mereka tidak menyiapkan tugasan, saya akan mengambil tahu tentang masalah yang mereka hadapi atau tidak faham dan tidak memberikan mereka menyalin tugasan saya bulat-bulat secara membuta-tuli. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat mengumpul pahala tetapi kita juga berpeluang untuk mengasah lagi minda kita dan mengukuhkan lagi ilmu yang ada.  

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong”.


Di samping itu, saya mengingatkan agar tidak bertangguh dah menyiapkan segala tugasan yang diberi oleh guru. Walaupun bertimbun-timbun, ada hikmahnya dan ada kemanisannya. “boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (al baqarah 216).

Di rumah pula, sekiranya tiada kelas tambahan dan dibenarkan pulang awal, selepas solat saya akan mengambil peluang untuk berqailullah ( tidur sebentar antara zuhur dan asar ) selama 30 minit untuk menyegarkan sistem tubuh badan saya. Selepas itu, saya akan menyiapkan kerja sekolah saya untuk sepanjang hari. Cara saya belajar ialah saya akan berehat selama 30 minit selang satu jam sesi pembelajaran. Tambahan itu, saya seorang yang gemar bersukan. Selalunya, saya akan bersukan pada hari jumaat,sabtu dan ahad kerana saya berpendapat saya mempunyai banyak masa lapang pada hari tersebut. Saya juga ada mengambil kelas tambahan tetapi hanya untuk matapelajaran matematik tambahan sahaja. Perlu juga diingatkan, hanya bergantung pada kelas tambahan tidak akan membantu sekiranya kita tidak mengulang kaji sendiri dan membuat persediaan untuk peperiksaan. Hal ini kerana ramai yang pergi ke kelas tambahan tetapi kecundang dalam peperiksaan walhal yang tidak pergi ke kelas tambahan cemerlang dalam peperiksaan.

Tidak dikecualikan, buku latihan tambahan juga perlu ada dan jangan dibiarkan tidak terusik dan hanya menjadi pengumpul habuk. Secara jujur, saya jarang buat latihan bertulis sendiri melainkan helaian kertas yang cikgu beri. Kerana mengikut pendapat saya, saya akan memakan banyak masa untuk menulis dan menyelam buku rujukan untuk mencari jawapan. Sebaliknya, saya belajar menggunakan teori peniruan Albert Bandura iaitu melalui pembacaan soalan dan jawapannya secara terus. Melalui cara ini, saya dapat memahami corak soalan peperiksaan serta teknik menjawab lebih-lebih lagi kebanyakan cikgu menyediakan soalan peperiksaan dengan mengguna pakai soalan-soalan dari buku latihan di pasaran. Perlu juga diambil kira, kita hendaklah memahami jawapan yang dinyatakan dan bukan hanya membaca secara membabi buta dan jawapan hendaklah lengkap dengan cara pengiraan dan penyelesaian. Untuk pengetahuan semua, buku past-year questions banyak membantu saya. Pendek cerita, saya menggunakan kaedah ini sebelum menghadapi segala peperiksaan.


Sewaktu di hospital selama dua bulan, memang tidak dapat dinafikan emosi sukar untuk dikawal. Cuba bayangkan anda perlu menahan kesakitan, kesunyian,tekanan dan minda yang mamai disebabkan berpuluh-puluh ubat yang terpaksa anda telan secara rutin harian untuk mengurangkan kadar kesakitan. Adakah anda boleh belajar ? Allah Maha Mengetahui. Walaupun banyak buku yang saya bawa dalam wad (sebakul kot) , hakikatnya sehari sehelai pun belum tentu saya dapat baca kerana peranan ubat pain-killer khususnya morphin yang membuatkan pengambilnya mamai dan akhirnya tertidur. Alhamdulillah, mujur keluarga saya yang sering bersusah-payah berdoa dan memberikan sokongan, sahabat-sahabat dan guru-guru yang datang melawat memberi nasihat dan mencurahkan motivasi, saya dapat mengharunginya.

Sebaik sahaja saya keluar dari hospital iaitu pada akhir bulan september, saya hanya mempunyai kira-kira 1 bulan setengah untuk menelaah segala pelajaran yang saya tertinggal di sekolah sebelum menghadapi SPM. Oleh yang demikian, saya terpaksa mengambil keputusan yang berisiko dan belajar sendiri di rumah bagi mengejar kembali topik-topik yang telah saya jauh tertinggal. Belajar sendiri di rumah memang sukar kerana tiada orang yang memantau dan tanpa niat dan motivasi yang kuat, anda bakal kecundang. Jujurnya, saya cepat penat dan banyak tidur ketika belajar di rumah. Sekiranya saya tidak faham, saya akan bertanya kepada sahabat-sahabat saya melalui media sosial, whatsapp, dll dan ada juga sahabat yang datang ke rumah saya untuk menerangkan secara langsung kepada saya.


Akhirul kalam, tiada istilah “saya dilahirkan tidak pandai”. Melalui pengalaman saya bersama-sama insan yang berkata begitu hanyalah alasan untuk mereka yang hidup untuk bersuka-ria dan mengamalkan gaya hedonistik. Mereka lebih suka hidup senang daripada bertungkus-lumus berusaha untuk berjaya. Mereka tidar sedar bahawa kita hendaklah “bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian” kerana itulah lumrah hidup. Imam syafie pernah berkata. “ Bila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”. Mereka mengkategorikan umat yang suka menuntut ilmu sebagai skema/nerd kerana mereka iri hati dengan pencapaian mereka dan mahu menarik mereka bersamanya. Walhal, Allah sendiri memerintahkan umat islam untuk membaca melalui wahyu pertamanya kepada Nabi Muammad SAW. Siapa yang perlu kita ikut ? Allah SWT yang menciptakan manusia, atau manusia yang mahu menjatuhkan manusia kerana mengikut telunjuk syaitan?

Konklusinya, tiada jalan pintas untuk berjaya. Kalau nak berjaya, hiduplah seperti orang yang berjaya. Kita perlu menempuh segala aral yang melintang untuk berjaya. Tanyalah, tokoh-tokoh murid yang cemerlang, mereka semua pasti mengaku bahawa mereka istiqamah bertungkus-lumus belajar untuk memperoleh keputusan yang mereka impikan. Sesungguhnya, segala yang saya kongsi ini merupakan apa yang saya telah amalkan ketika belajar di sekolah menengah. Tidak semestinya anda perlu mengikut cara saya, kerana setiap orang ada cara efisien masing-masing yang penting ikhlas menuntut ilmu. Hal ini kerana, “ Kalau nak kebahagiaan dunia kena ada ilmu, kalau nak akhirat kena ada ilmu, kalau nak kedua-duanya kena ada ilmu”- Imam Syafie. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


Segunung terima kasih kepada warga pendidik dari SMK Ghafar Baba yang membentuk saya dengan acuan yang betul.



~Ammar Al Hakim~

ammar al hakim

 Be Strong To Let It Go......




Sunday, March 8, 2015

SMK GHAFAR BABA KEKAL KECEMERLANGAN DALAM SPM 2014

Syukur Alhamdulillah ,hari bersejarah yang akan diingati oleh semua calon calon SPM 2014 ketika keputusan  diumumkan.Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba telah berjaya mengekalkan rekod 100% lulus dalam pencapaian SPM 2014.


Pn Hjh Khalijah Abd Rahman pengetua SMKGB melahirkan rasa gembira dan syukur di atas kejayaan sekolah mengekalkan rekod 100 lulus dengan gred purata meningkat iaitu daripada 3.58 pada tahun 2013 kepada kepada 3.43 pada tahun 2014.Dengan itu Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba mengekalkan rekod cemerlang SPM 2013.



spm 2014
Wajah- wajah ceria  pelajar cemerlang

Seramai 9 orang pelajar mendapat 9 A  dalam semua mata pelajaran iaitu 


  • Mohd Rafael Md Hassan( Ketua Pengawas SMKGB 2014)
  • Ammar Al Hakim Mohd Kamil 
  • Fathi Yusof
  • Loo Soo Ping 
  • Maitasha Mohd Zainy
  • Najihah Nohd Noh 
  • Loh Sin Inn 
  • Anis Umairah Rosli

spm 2014                                spm 2014


spm 2014
spm 2014








spm 2014








                                       
                                                                                                                                                                                                                                                                                              spm 2014     

spm 2014                               




Semoga kejayaan mereka ini menjadi sumber inspirasi kepada anak- anak didik di SMKGB untuk melakar kecemerlangan di masa akan datang.Kami pihak sekolah mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua murid -murid SMKGB yang telah berjaya.Bagi yang kurang cemerlang, masih ada ruang dan jalan untuk meneruskan perjuangan masing masing.


SPM 2014
Tahniah  semua!!!!!