Saturday, March 21, 2015

2 BULAN TERLANTAR SAKIT NAMUN SPM TETAP 9A

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


            Nama dianugerahkan kepada saya Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil. Saya bekas pelajar yang pernah menuntut di SMK Ghafar Baba pada tahun 2013-2014. Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Kaya kerana ketika saya belajar di sini saya telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2014. 9A dalam genggaman saya telah menimbulkan pelbagai kata tanya dan spekulasi yang meniti di bibir-bibir mulut masyarakat sekeliling saya. Bagaimanakah dia boleh mendapat keputusan yang memberangsangkan sedangkan dia kerap tak masuk kelas dek aktif dengan aktiviti kokirukulum? Desas-desus mengatakan dia masuk hospital selama dua bulan, kalau begitu bagaimana dia boleh cemerlang juga? Keadaaan dia ketika dia sakit dan sihat sama je… Dia makan apa eh ? Dia ni manusia ke ? Pening ar !!! Bertitik tolak dari itu, otak dan hati saya telah bersepakat dan membuat kata putus, untuk merungkaikan segala tribulasi yang menghantui kotak fikiran warga sejagat khususnya adik-adik yang masih belajar dan mengimpikan rangkaian A dalam slip keputusan peperiksaan di SMK Ghafar Baba agar dapat menempuh segala mehnah yang bakal muncul ketika roda masa adik-adik masih berputar dalam alam pelajar sekolah menengah. 
AMMAR AL HAKIM

 9A SPM 2014


Hal ini kerana, Dalam hadis Nabi SAW pernah menyatakan ,“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3289)


Innamal A’malu Binniyat. Sesungguhnya, amalan kita bergantung pada niat. Oleh itu, untuk berjaya tidak kisahlah dalam peperiksaan atau hidup di dunia waima akhirat, kita mestilah mempunyai matlamat yang padu tertanam dalam hati kita bak pokok yang telah berakar,  kuat mencengkam tanah. Dengan matlamat, kita akan bersemangat untuk menuju ke destinasi yang kita impikan. Di bilik saya, emak saya banyak meletakkan gambar-gambar yang ditemani dengan mutiara kata motivasi agar saya tidak mengaku kalah menghadapi kesulitan hidup. Tetapi hanya niat sahaja dan tidak mengorak langkah untuk berusaha secara fizikal tidak akan membuahkan hasil malah akan mengakibatkan diri sendiri terseksa. Kekuatan fizikal dan mental ini boleh diibaratkan seperti sayap, kita berlukan kedua-duanya untuk terbang.

Seterusnya, saya akan fokuskan cara saya belajar. Sebelum saya menjatuhkan langkah pertama saya dalam kawasan sekolah, saya akan berniat bahawa saya datang sekolah semata-mata untuk menuntut ilmu, bukan untuk mencari hiburan, bukan untuk mecari pasangan ataupun lawan. Hal ini kerana, ilmu itu suci. Sekiranya, hati dan minda kita disajikan dengan perkara-perkara keji sehingga menjadikan hati kita kotor. Cuba bayangkan, adakah benda yang suci akan melekat di tempat yang kotor ? Tidak. Apatah lagi mendekatinya ? Realitinya, remaja pada zaman ini banyak yang mempunyai masalah hati, sebab itu mereka berat untuk mengulang kaji dan menyiapkan segala tugasan yang cikgu beri. Oleh itu, saya harap anda usahlah kecil hati dan ubahlah diri anda sendiri.



Ketika saya berada di kelas pula, saya akan memaksimumkan tumpuan saya 100% ketika guru sedang mengajar. Sekiranya, saya ada sebarang kebingungan saya akan memohon pencerahan dari guru pada saat itu juga tanpa perasaan malu. Kerana saya sedar, sekiranya saya menangguhkan kemusykilan yang bermain di minda saya, saya mungkin akan lupa dan perkara yang rumit itu tidak dapat diselesaikan. Jangan bersikap ego dengan menyatakan bahawa kita akan mencari jawapan itu sendiri dengan rujukan buku kerana kadang-kadang cikgu ada sesuatu yang buku tidak ada dan lebih menjimatkan masa. Jangan malu tidak bertempat. Lebih baik malu disebabkan soalan kita yang mudah yang mengakibatkan kita dianggap bodoh daripada kita menjadi bodoh selama-lamanya. Sesungguhnya, malu bertanya sesat jalan.

Sehubungan itu, saya akan membantu rakan-rakan saya yang mempunyai masalah dalam pelajaran. Apabila mereka tidak menyiapkan tugasan, saya akan mengambil tahu tentang masalah yang mereka hadapi atau tidak faham dan tidak memberikan mereka menyalin tugasan saya bulat-bulat secara membuta-tuli. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat mengumpul pahala tetapi kita juga berpeluang untuk mengasah lagi minda kita dan mengukuhkan lagi ilmu yang ada.  

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong”.


Di samping itu, saya mengingatkan agar tidak bertangguh dah menyiapkan segala tugasan yang diberi oleh guru. Walaupun bertimbun-timbun, ada hikmahnya dan ada kemanisannya. “boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (al baqarah 216).

Di rumah pula, sekiranya tiada kelas tambahan dan dibenarkan pulang awal, selepas solat saya akan mengambil peluang untuk berqailullah ( tidur sebentar antara zuhur dan asar ) selama 30 minit untuk menyegarkan sistem tubuh badan saya. Selepas itu, saya akan menyiapkan kerja sekolah saya untuk sepanjang hari. Cara saya belajar ialah saya akan berehat selama 30 minit selang satu jam sesi pembelajaran. Tambahan itu, saya seorang yang gemar bersukan. Selalunya, saya akan bersukan pada hari jumaat,sabtu dan ahad kerana saya berpendapat saya mempunyai banyak masa lapang pada hari tersebut. Saya juga ada mengambil kelas tambahan tetapi hanya untuk matapelajaran matematik tambahan sahaja. Perlu juga diingatkan, hanya bergantung pada kelas tambahan tidak akan membantu sekiranya kita tidak mengulang kaji sendiri dan membuat persediaan untuk peperiksaan. Hal ini kerana ramai yang pergi ke kelas tambahan tetapi kecundang dalam peperiksaan walhal yang tidak pergi ke kelas tambahan cemerlang dalam peperiksaan.

Tidak dikecualikan, buku latihan tambahan juga perlu ada dan jangan dibiarkan tidak terusik dan hanya menjadi pengumpul habuk. Secara jujur, saya jarang buat latihan bertulis sendiri melainkan helaian kertas yang cikgu beri. Kerana mengikut pendapat saya, saya akan memakan banyak masa untuk menulis dan menyelam buku rujukan untuk mencari jawapan. Sebaliknya, saya belajar menggunakan teori peniruan Albert Bandura iaitu melalui pembacaan soalan dan jawapannya secara terus. Melalui cara ini, saya dapat memahami corak soalan peperiksaan serta teknik menjawab lebih-lebih lagi kebanyakan cikgu menyediakan soalan peperiksaan dengan mengguna pakai soalan-soalan dari buku latihan di pasaran. Perlu juga diambil kira, kita hendaklah memahami jawapan yang dinyatakan dan bukan hanya membaca secara membabi buta dan jawapan hendaklah lengkap dengan cara pengiraan dan penyelesaian. Untuk pengetahuan semua, buku past-year questions banyak membantu saya. Pendek cerita, saya menggunakan kaedah ini sebelum menghadapi segala peperiksaan.


Sewaktu di hospital selama dua bulan, memang tidak dapat dinafikan emosi sukar untuk dikawal. Cuba bayangkan anda perlu menahan kesakitan, kesunyian,tekanan dan minda yang mamai disebabkan berpuluh-puluh ubat yang terpaksa anda telan secara rutin harian untuk mengurangkan kadar kesakitan. Adakah anda boleh belajar ? Allah Maha Mengetahui. Walaupun banyak buku yang saya bawa dalam wad (sebakul kot) , hakikatnya sehari sehelai pun belum tentu saya dapat baca kerana peranan ubat pain-killer khususnya morphin yang membuatkan pengambilnya mamai dan akhirnya tertidur. Alhamdulillah, mujur keluarga saya yang sering bersusah-payah berdoa dan memberikan sokongan, sahabat-sahabat dan guru-guru yang datang melawat memberi nasihat dan mencurahkan motivasi, saya dapat mengharunginya.

Sebaik sahaja saya keluar dari hospital iaitu pada akhir bulan september, saya hanya mempunyai kira-kira 1 bulan setengah untuk menelaah segala pelajaran yang saya tertinggal di sekolah sebelum menghadapi SPM. Oleh yang demikian, saya terpaksa mengambil keputusan yang berisiko dan belajar sendiri di rumah bagi mengejar kembali topik-topik yang telah saya jauh tertinggal. Belajar sendiri di rumah memang sukar kerana tiada orang yang memantau dan tanpa niat dan motivasi yang kuat, anda bakal kecundang. Jujurnya, saya cepat penat dan banyak tidur ketika belajar di rumah. Sekiranya saya tidak faham, saya akan bertanya kepada sahabat-sahabat saya melalui media sosial, whatsapp, dll dan ada juga sahabat yang datang ke rumah saya untuk menerangkan secara langsung kepada saya.


Akhirul kalam, tiada istilah “saya dilahirkan tidak pandai”. Melalui pengalaman saya bersama-sama insan yang berkata begitu hanyalah alasan untuk mereka yang hidup untuk bersuka-ria dan mengamalkan gaya hedonistik. Mereka lebih suka hidup senang daripada bertungkus-lumus berusaha untuk berjaya. Mereka tidar sedar bahawa kita hendaklah “bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian” kerana itulah lumrah hidup. Imam syafie pernah berkata. “ Bila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”. Mereka mengkategorikan umat yang suka menuntut ilmu sebagai skema/nerd kerana mereka iri hati dengan pencapaian mereka dan mahu menarik mereka bersamanya. Walhal, Allah sendiri memerintahkan umat islam untuk membaca melalui wahyu pertamanya kepada Nabi Muammad SAW. Siapa yang perlu kita ikut ? Allah SWT yang menciptakan manusia, atau manusia yang mahu menjatuhkan manusia kerana mengikut telunjuk syaitan?

Konklusinya, tiada jalan pintas untuk berjaya. Kalau nak berjaya, hiduplah seperti orang yang berjaya. Kita perlu menempuh segala aral yang melintang untuk berjaya. Tanyalah, tokoh-tokoh murid yang cemerlang, mereka semua pasti mengaku bahawa mereka istiqamah bertungkus-lumus belajar untuk memperoleh keputusan yang mereka impikan. Sesungguhnya, segala yang saya kongsi ini merupakan apa yang saya telah amalkan ketika belajar di sekolah menengah. Tidak semestinya anda perlu mengikut cara saya, kerana setiap orang ada cara efisien masing-masing yang penting ikhlas menuntut ilmu. Hal ini kerana, “ Kalau nak kebahagiaan dunia kena ada ilmu, kalau nak akhirat kena ada ilmu, kalau nak kedua-duanya kena ada ilmu”- Imam Syafie. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


Segunung terima kasih kepada warga pendidik dari SMK Ghafar Baba yang membentuk saya dengan acuan yang betul.



~Ammar Al Hakim~

ammar al hakim

 Be Strong To Let It Go......




No comments:

Post a Comment