Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh,
Nama dianugerahkan kepada saya Ammar
Al Hakim bin Mohd Kamil. Saya bekas pelajar yang pernah menuntut di SMK Ghafar
Baba pada tahun 2013-2014. Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Kaya kerana
ketika saya belajar di sini saya telah berjaya mendapat keputusan yang
cemerlang dalam SPM 2014. 9A dalam genggaman saya telah menimbulkan pelbagai
kata tanya dan spekulasi yang meniti di bibir-bibir mulut masyarakat sekeliling
saya. Bagaimanakah dia boleh mendapat keputusan yang memberangsangkan sedangkan
dia kerap tak masuk kelas dek aktif dengan aktiviti kokirukulum? Desas-desus
mengatakan dia masuk hospital selama dua bulan, kalau begitu bagaimana dia
boleh cemerlang juga? Keadaaan dia ketika dia sakit dan sihat sama je… Dia
makan apa eh ? Dia ni manusia ke ? Pening ar !!! Bertitik tolak dari itu, otak
dan hati saya telah bersepakat dan membuat kata putus, untuk merungkaikan
segala tribulasi yang menghantui kotak fikiran warga sejagat khususnya
adik-adik yang masih belajar dan mengimpikan rangkaian A dalam slip keputusan
peperiksaan di SMK Ghafar Baba agar dapat menempuh segala mehnah yang bakal
muncul ketika roda masa adik-adik masih berputar dalam alam pelajar sekolah
menengah.
9A SPM 2014
Hal ini kerana, Dalam hadis Nabi SAW pernah menyatakan
,“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis
dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3289)
Innamal A’malu Binniyat.
Sesungguhnya, amalan kita bergantung pada niat. Oleh itu, untuk berjaya tidak
kisahlah dalam peperiksaan atau hidup di dunia waima akhirat, kita mestilah
mempunyai matlamat yang padu tertanam dalam hati kita bak pokok yang telah
berakar, kuat mencengkam tanah. Dengan
matlamat, kita akan bersemangat untuk menuju ke destinasi yang kita impikan. Di
bilik saya, emak saya banyak meletakkan gambar-gambar yang ditemani dengan
mutiara kata motivasi agar saya tidak mengaku kalah menghadapi kesulitan hidup.
Tetapi hanya niat sahaja dan tidak mengorak langkah untuk berusaha secara
fizikal tidak akan membuahkan hasil malah akan mengakibatkan diri sendiri
terseksa. Kekuatan fizikal dan mental ini boleh diibaratkan seperti sayap, kita
berlukan kedua-duanya untuk terbang.
Seterusnya, saya akan fokuskan
cara saya belajar. Sebelum saya menjatuhkan langkah pertama saya dalam kawasan
sekolah, saya akan berniat bahawa saya datang
sekolah semata-mata untuk menuntut ilmu, bukan untuk mencari hiburan, bukan
untuk mecari pasangan ataupun lawan. Hal ini kerana, ilmu itu suci. Sekiranya,
hati dan minda kita disajikan dengan perkara-perkara keji sehingga menjadikan
hati kita kotor. Cuba bayangkan, adakah benda yang suci akan melekat di tempat
yang kotor ? Tidak. Apatah lagi mendekatinya ? Realitinya, remaja pada zaman
ini banyak yang mempunyai masalah hati, sebab itu mereka berat untuk mengulang
kaji dan menyiapkan segala tugasan yang cikgu beri. Oleh itu, saya harap anda
usahlah kecil hati dan ubahlah diri anda sendiri.
Ketika saya berada di kelas
pula, saya akan memaksimumkan tumpuan saya 100%
ketika guru sedang mengajar. Sekiranya, saya ada sebarang kebingungan saya akan
memohon pencerahan dari guru pada saat itu juga tanpa perasaan malu. Kerana
saya sedar, sekiranya saya menangguhkan kemusykilan yang bermain di minda saya,
saya mungkin akan lupa dan perkara yang rumit itu tidak dapat diselesaikan.
Jangan bersikap ego dengan menyatakan bahawa kita akan mencari jawapan itu
sendiri dengan rujukan buku kerana kadang-kadang cikgu ada sesuatu yang buku tidak ada dan lebih menjimatkan masa.
Jangan malu tidak bertempat. Lebih baik malu disebabkan soalan kita yang mudah
yang mengakibatkan kita dianggap bodoh daripada kita menjadi bodoh
selama-lamanya. Sesungguhnya, malu bertanya sesat jalan.
Sehubungan itu, saya akan
membantu rakan-rakan saya yang mempunyai masalah dalam pelajaran. Apabila
mereka tidak menyiapkan tugasan, saya akan mengambil tahu tentang masalah yang
mereka hadapi atau tidak faham dan tidak memberikan mereka menyalin tugasan
saya bulat-bulat secara membuta-tuli. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat
mengumpul pahala tetapi kita juga berpeluang untuk mengasah lagi minda kita dan
mengukuhkan lagi ilmu yang ada.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW
bersabda yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang
beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu
satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang
susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup
keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan
Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong”.
Di samping itu, saya
mengingatkan agar tidak bertangguh dah menyiapkan segala tugasan yang diberi
oleh guru. Walaupun bertimbun-timbun, ada hikmahnya dan ada kemanisannya. “boleh
jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu
tidak mengetahui” (al baqarah 216).
Di rumah pula, sekiranya tiada
kelas tambahan dan dibenarkan pulang awal, selepas solat saya akan mengambil
peluang untuk berqailullah ( tidur sebentar antara zuhur dan asar ) selama 30 minit untuk menyegarkan sistem tubuh
badan saya. Selepas itu, saya akan menyiapkan kerja sekolah saya untuk
sepanjang hari. Cara saya belajar ialah saya akan berehat selama 30 minit selang satu jam sesi
pembelajaran. Tambahan itu, saya seorang yang gemar bersukan. Selalunya, saya
akan bersukan pada hari jumaat,sabtu dan ahad kerana saya berpendapat saya
mempunyai banyak masa lapang pada hari tersebut. Saya juga ada mengambil kelas
tambahan tetapi hanya untuk matapelajaran matematik tambahan sahaja. Perlu juga
diingatkan, hanya bergantung pada kelas
tambahan tidak akan membantu sekiranya kita tidak mengulang kaji sendiri dan
membuat persediaan untuk peperiksaan. Hal ini kerana ramai yang pergi
ke kelas tambahan tetapi kecundang dalam peperiksaan walhal yang tidak pergi ke
kelas tambahan cemerlang dalam peperiksaan.
Tidak dikecualikan, buku latihan
tambahan juga perlu ada dan jangan dibiarkan tidak terusik dan hanya menjadi
pengumpul habuk. Secara jujur, saya jarang buat latihan bertulis sendiri
melainkan helaian kertas yang cikgu beri. Kerana mengikut pendapat saya, saya
akan memakan banyak masa untuk menulis dan menyelam buku rujukan untuk mencari
jawapan. Sebaliknya, saya belajar menggunakan teori peniruan Albert Bandura
iaitu melalui pembacaan soalan dan jawapannya secara terus. Melalui cara ini,
saya dapat memahami corak soalan peperiksaan serta teknik menjawab lebih-lebih
lagi kebanyakan cikgu menyediakan soalan peperiksaan dengan mengguna pakai
soalan-soalan dari buku latihan di pasaran. Perlu juga diambil kira, kita
hendaklah memahami jawapan yang
dinyatakan dan bukan hanya membaca secara membabi buta dan jawapan hendaklah lengkap dengan cara pengiraan dan penyelesaian.
Untuk pengetahuan semua, buku past-year questions banyak membantu saya. Pendek
cerita, saya menggunakan kaedah ini sebelum menghadapi segala peperiksaan.
Sewaktu di hospital selama dua
bulan, memang tidak dapat dinafikan emosi sukar untuk dikawal. Cuba bayangkan
anda perlu menahan kesakitan, kesunyian,tekanan dan minda yang mamai disebabkan
berpuluh-puluh ubat yang terpaksa anda telan secara rutin harian untuk
mengurangkan kadar kesakitan. Adakah anda boleh belajar ? Allah Maha Mengetahui.
Walaupun banyak buku yang saya bawa dalam wad (sebakul kot) , hakikatnya sehari
sehelai pun belum tentu saya dapat baca kerana peranan ubat pain-killer
khususnya morphin yang membuatkan pengambilnya mamai dan akhirnya tertidur.
Alhamdulillah, mujur keluarga saya yang sering bersusah-payah berdoa dan
memberikan sokongan, sahabat-sahabat dan guru-guru yang datang melawat memberi
nasihat dan mencurahkan motivasi, saya dapat mengharunginya.
Sebaik sahaja saya keluar dari
hospital iaitu pada akhir bulan september, saya hanya mempunyai kira-kira 1
bulan setengah untuk menelaah segala pelajaran yang saya tertinggal di sekolah
sebelum menghadapi SPM. Oleh yang demikian, saya terpaksa mengambil keputusan
yang berisiko dan belajar sendiri di rumah bagi mengejar kembali topik-topik
yang telah saya jauh tertinggal. Belajar sendiri di rumah memang sukar kerana
tiada orang yang memantau dan tanpa niat dan motivasi yang kuat, anda bakal
kecundang. Jujurnya, saya cepat penat dan banyak tidur ketika belajar di rumah.
Sekiranya saya tidak faham, saya akan bertanya kepada sahabat-sahabat saya
melalui media sosial, whatsapp, dll dan ada juga sahabat yang datang ke rumah
saya untuk menerangkan secara langsung kepada saya.
Akhirul kalam, tiada istilah
“saya dilahirkan tidak pandai”. Melalui pengalaman saya bersama-sama insan yang
berkata begitu hanyalah alasan untuk mereka yang hidup untuk bersuka-ria dan
mengamalkan gaya hedonistik. Mereka lebih suka hidup senang daripada
bertungkus-lumus berusaha untuk berjaya. Mereka tidar sedar bahawa kita
hendaklah “bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian” kerana itulah
lumrah hidup. Imam syafie pernah berkata. “ Bila kamu tidak tahan penatnya
belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”. Mereka mengkategorikan
umat yang suka menuntut ilmu sebagai skema/nerd kerana mereka iri hati dengan
pencapaian mereka dan mahu menarik mereka bersamanya. Walhal, Allah sendiri
memerintahkan umat islam untuk membaca
melalui wahyu pertamanya kepada Nabi Muammad SAW. Siapa yang perlu kita ikut ?
Allah SWT yang menciptakan manusia, atau manusia yang mahu menjatuhkan manusia
kerana mengikut telunjuk syaitan?
Konklusinya, tiada jalan pintas untuk berjaya. Kalau
nak berjaya, hiduplah seperti orang yang berjaya. Kita perlu menempuh segala
aral yang melintang untuk berjaya. Tanyalah, tokoh-tokoh murid yang cemerlang,
mereka semua pasti mengaku bahawa mereka istiqamah bertungkus-lumus belajar
untuk memperoleh keputusan yang mereka impikan. Sesungguhnya, segala yang saya
kongsi ini merupakan apa yang saya telah amalkan ketika belajar di sekolah
menengah. Tidak semestinya anda perlu mengikut cara saya, kerana setiap orang
ada cara efisien masing-masing yang penting ikhlas menuntut ilmu. Hal ini kerana, “ Kalau nak kebahagiaan dunia
kena ada ilmu, kalau nak akhirat kena ada ilmu, kalau nak kedua-duanya kena ada
ilmu”- Imam Syafie. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Segunung terima kasih kepada
warga pendidik dari SMK Ghafar Baba yang membentuk saya dengan acuan yang
betul.
~Ammar
Al Hakim~
Be Strong To Let It Go......