Saturday, March 21, 2015

DUIT ialah DOA USAHA ISTIQOMAH TAWAKKAL


FATHI

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

            Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan keputusan SPM yang saya dapat. Ramai juga yang berkata kepada saya, "Kau budak pandai boleh la skor. Aku ni usaha-usaha pun masih susah nak skor dengan baik". Wahai rakan, pada pendapat saya, tiada istilah pandai atau kurang pandai dalam dunia ni. Itu semua hanya istilah yang kita guna untuk label seseorang berdasarkan kesan perlakuan mereka. Contohnya, kalau mereka berjaya skor dalam peperiksaan, kita label golongan ini sebagai budak-budak pandai dan sebaliknya. Istilah yang sepatutnya digunakan adalah berdasarkan tindakan atau usaha mereka sepanjang tempoh tersebut. Istilah yang saya maksudkan adalah 'RAJIN' dan 'MALAS'. Kalau kita lihat pelajar yang berjaya, MAJORITInya RAJIN menyiapkan kerja sekolah yang diberikan, RAJIN melakukan ulang kaji matapelajaran serta RAJIN ke sekolah. Memang tidak dinafikan ada golongan MINORITI yang dilahirkan genius, tak buat 'homework', tak ulang kaji dan ponteng kelas tapi masih boleh skor dengan baik dalam peperiksaan. Walaubagaimanapun, kita janganlah menjadikan golongan minoriti ini sebagai contoh kerana bukan semua di antara kita yang dilahirkan dengan kebolehan sebegitu. Kesimpulannya, kalau mahukan kejayaan, RAJIN kan diri menuntut ilmu. :D

Kawan-kawan sekalian,

            Saya nak berkongsi cara saya belajar ketika di rumah. Terus terang, saya bukan manusia ulat buku yang mampu mentelaah satu subjek berjam-jam lamanya, 15 minit sudah cukup maksimum bagi saya untuk satu matapelajaran. Cara untuk atasi perkara sebegini adalah dengan menggunakan cara 'Golden 10 Minutes' pergh nama. Saya menggunakan 10 minit minimum untuk mengulangkaji satu subjek dengan syarat saya bebas daripada gangguan persekitaran dan menumpukan perhatian 100% terhadap subjek tersebut. Bila kita mendalami subjek tersebut, kita akan mula berasa seronok untuk meneruskan ulangkaji. Biasanya saya akan belajar pada waktu petang selepas aktiviti riadah. Hal ini kerana selepas riadah, jantung mengepam darah dengan lebih laju ke seluruh anggota badan terutamanya otak kita. Jadi, saya gunakan masa ini, lebih kurang 10 minit selepas riadah untuk mengulangkaji pelajaran. Kesimpulannya di sini ialah TUMPUAN adalah paling penting dalam mengulang kaji matapelajaran,

            Saya juga mahu tekankan kepada rakan-rakan bahawa kita perlu KONSISTEN dalam mengulangkaji pelajaran. Mula ulangkaji daripada tingkatan 4. Jangan anggap tingkatan 4 sebagai tahun 'honeymoon' selepas PMR atau PT3. Ulangkaji lah apa yang dipelajari setiap hari paling kurang 10 minit. Jika dilakukan secara konsisten, insyaa Allah kita mampu memahami dan mengingati apa yang diajar oleh guru-guru kita. Selain itu, kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru wajib disiapkan. Hal ini kerana kerja sekolah mampu menjadi bahan bantuan untuk kita mengingati dan memahami apa yang dipelajari pada hari tersebut. Gunakan masa yang terluang di dalam kelas untuk menyiapkan kerja sekolah. Hal ini akan memberi kita lebih banyak masa di rumah untuk merehatkan minda. Oleh itu, kita perlu tahu bahawa ULANGKAJI dan KERJA SEKOLAH merupakan dua perkara berbeza tetapi WAJIB DILAKUKAN setiap hari.

Rakan-rakan,

             Saya mahu ingatkan perkara paling penting dalam usaha kita untuk memperoleh kejayaan. Pertama sekali ialah IKHLASKAN DIRI untuk menuntut ilmu. Bagi yang Muslim, pasanglah niat menuntut ilmu kerana Allah. Insyaa Allah ilmu yang ditimba setiap hari diberkati-NYA. Kedua, SAYANGI GURU kita. Caranya mudah, hormati mereka dan sentiasa siapkan kerja sekolah yang diberi. :D. Bila kita sayang guru, barulah ilmu yang kita peroleh diberkati. Ketiga, bagi seorang Muslim, iaitu MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH SWT. Jangan tinggal solat, perbanyakan bacaan Al Quran serta elakkan diri daripada membuat perbuatan mungkar. Ungkapan DUIT = DOA + USAHA + ISTIQOMAH + TAWAKKAL merupakan ungkapan terbaik untuk kita. Tanpa salah satu, sungguh sukar untuk kejayaan menjadi milik kita.

Saya berharap perkongsian ini dapat menjadi  pembakar semangat kepada kita semua untuk meneruskan kejayaan. Saya ucapkan semoga berjaya kepada semua.

'I am not saying it's gonna be easy, I am telling you it's gonna be worth it'.

FATHI

FATHI YUSUF MOHAMAD
Straight A's SPM 2014
SMK Ghafar Baba, Masjid Tanah.




No comments:

Post a Comment